Program Asasi STEM UMT, pertama di Malaysia

Kesungguhan meningkatkan penyertaan golongan muda dalam bidang sains yang diusahakan oleh pensyarah Universiti  Malaysia Terengganu (UMT) nampaknya semakin menunjukkan kejayaan.

Apa yang mereka lakukan adalah bergiat aktif  dalam program pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah-sekolah sekitar negeri Terengganu.

Menerusi  program tersebut, terbukti peningkatan minat murid dalam subjek matematik dan sains selain bilangan murid memilih masuk ke Tingkatan 4 dalam aliran sains tulen, meningkat

Hasil yang positif daripada program tersebut membuka mata UMT bagi mewujudkan program Asasi di universiti berkenaan program tersebut dinamakan sebagai Program Asasi STEM.

Menurut Pengarah Pusat Asasi STEM  UMT, Prof. Madya Dr. Laili  Che Ros, matlamat program tersebut adalah menyediakan bakal pelajar prasiswazah dengan pengetahuan serta kemahiran yang secukupnya dalam bidang STEM bagi memasuki program-program ijazah sarjana muda berasaskan STEM di UMT.

“Di sini kami mendedahkan pelajar kepada STEM dan memberi peluang kepada mereka  untuk mendalami bidang ini.

“Dengan itu, pelajar akan tertarik dan lebih meminati bidang STEM dan akhirnya menceburi kerjaya dalam bidang ini, ” ujarnya kepada jurnal.my.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, pelajar wajib mengambil semua kursus dalam modul yang ditawarkan.

Kursus wajib institusi terdiri daripada kursus Keperibadian Quranik, Bahasa Inggeris dan kokurikulum.

Kursus Teras Program pula terdiri daripada kursus Biologi, Kimia, Fizik, Matematik, Sains Bumi dan  Angkasa, Pengenalan Kepada Kejuruteraan, Pengenalan Kepada Aplikasi Komputer, Sejarah dan Falsafah STEM dan Modul Hafazan atau Mengaji al-Quran sebagai nilai tambah kepada pelajar.

Ia bertujuan melahirkan generasi yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik dan ilmu agama.

Mengenai perancangan, Dr. Laili berkata, pihaknya menganjurkan program bersama sekolah-sekolah untuk memperbanyakkan lagi pelajar berpotensi STEM lepasan SPM.

Di samping itu, pihaknya juga menambah baik modul pengajaran supaya selaras dengan pengiktirafan antarabangsa, sekali gus memudahkan pelajar Asasi UMT menyambung pengajian ke luar negara.

Mengulas mengenai senario bidang STEM di negara ini, beliau berkata, perkembangannya sangat positif dan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau lagi, lebih banyak kepakaran dalam bidang STEM diperlukan untuk pembangunan sesebuah negara.

“(Jangkaannya) kira-kira 70 peratus pekerjaan bergaji tinggi adalah dalam bidang STEM pada masa akan datang.

“Namun, graduan STEM masih kurang atau semakin berkurangan. Pihak industri juga kekurangan pekerja yang berkemahiran STEM.

“Oleh itu, banyak institusi pendidikan sama ada tempatan atau antarabangsa semakin sedar akan kepentingan untuk melahirkan graduan yang berkemahiran dalam bidang STEM, ‘’ ujar Dr. Laili lagi.

Mengenai isu STEM dalam negara, Dr. Laili berkata, mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek pernah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap kemerosotan purata kira-kira 6,000 pelajar setiap tahun yang mengambil bidang STEM pada tahun 2018 berbanding 2012.  Tidak mustahil katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembelajaran STEM di peringkat sekolah.

“Saya percaya ini adalah perkembangan positif dan Malaysia mampu melahirkan lebih ramai graduan berkepakaran bidang STEM,’’ katanya.

Justeru beliau berharap supaya pusat tersebut berjaya menarik lebih ramai murid memasuki ke Program Asasi STEM dan seterusnya menyambung pelajaran mereka ke UMT dalam bidang tersebut.

Katanya lagi, dengan latihan program outreach yang diadakan sepanjang mereka berada di pusat asasi STEM, ia diharapkan dapat menghasilkan golongan pelajar yang lebih holistik dari segi pencapaian.

Info STEM UMT

  • Mula ditubuhkan 2015.
  • Sehingga 2019, sebanyak 20 buah sekolah di sekitar negeri Terengganu diwatikahkan sebagai sekolah angkat dalam program mentor mentee STEM.
  • Pusat Asasi STEM UMT memulakan pengambilan pertama pada Jun 2018.
  • Pusat Asasi STEM memulakan semester pertamanya dengan kemasukan 68 orang pelajar lepasan SPM pada sesi kemasukan Jun 2018.

Kelebihan/keunikan Pusat Asasi STEM UMT:

  • Program berfokus dengan asas bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik digabungkan dalam satu kursus melibatkan  tempoh pembelajaran  selama tiga semester (setahun).
  • Dengan kursus yang ditawarkan, pelajar berpeluang memilih bidang yang diminati sama ada sains, matematik, jurutera atau teknologi maklumat (IT) selepas tamat kursus.
  • Program turut membuka peluang kepada pelajar yang mengikuti aliran sastera ketika di sekolah menengah untuk beralih kepada bidang sains dengan  bersyaratkan A dalam subjek Sains dan sekurang-kurangnya C+ untuk Matematik Tambahan.
  • Program ini memberi laluan kepada murid daripada aliran sekolah agama.
  • Di Asasi STEM, program modul hafazan dan subjek keperibadian Quranik turut disediakan.
  • Selain itu turut  disediakan kelas mengaji al-Quran yang dibimbing oleh pensyarah yang ada kepakaran  dalam bidang tersebut.