asasistem@umt.edu.my Phone: +609-6683251/3710

LATAR BELAKANG UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  telah  bermula dengan sebuah  Pusat  Perikanan dan  Sains Samudera pada tahun 1979, yang  menyediakan kemudahan latihan kepada para pelajar Program Perikanan dan Sains Samudera di samping kemudahan penyelidikan kepada pensyarah.  Melalui penstrukturan semula program akademik di UPM, keseluruhan Fakulti Perikanan dan Sains Samudera telah dipindahkan ke Terengganu dan diberi nama baharu iaitu Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FSGT) mulai Jun 1996. Turut ditubuhkan ialah Fakulti Sains dan Sastera Ikhtisas (FSSI) dan Pusat Pengajian Matrikulasi (PPM).

Mulai Jun 1996, kampus ini telah diiktiraf (secara dalaman UPM) sebagai pusat tanggungjawab dan dinamakan Universiti Putra Malaysia Cawangan Terengganu (UPMT) dan diketuai oleh seorang Rektor (designate). Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 5 Mei 1999 telah bersetuju untuk meluluskan cadangan penubuhan Kolej Universiti Terengganu (KUT) berasaskan Pusat Perikanan dan Sains Samudera Universiti Putra Malaysia di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.

Penubuhan Kolej Universiti Terengganu (Perbadanan) 1999 (PUA 292) telah diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Julai 1999. KUT telah diberi kuasa autonomi sebagai Kolej Universiti Terengganu pada 1 Mei 2001. Pada 1 Julai 2001 KUT dengan rasminya telah bertukar nama sebagai Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia dengan nama singkatan KUSTEM.

Pada tanggal 1 Februari 2007 bersamaan dengan 13 Muharam 1428H, tercipta satu lagi sejarah dalam sistem pendidikan di Malaysia. Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan IPTA negara, enam buah Kolej Universiti telah melalui penjenamaan semula kolej-kolej universiti. Kini KUSTEM telah dikenali dengan nama yang baharu sebagai Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sejak penubuhan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melalui transformasi yang hebat dari sebuah Kolej Universiti yang kurang dikenali kepada sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang berjaya dalam program-program pra dan pasca siswazahnya dan cemerlangnya melakar nama di persada dunia dalam bidang penyelidikan sains, teknologi dan pengurusan sumber alam. Universiti Malaysia Terengganu mempunyai enam (6) buah fakulti sebelum ini iaitu Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM), Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM), Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) serta Fakulti Perikanan dan Akua-Industri (FPAI) yang menawarkan 26 program Pengajian Ijazah Sarjana Muda dan satu program Diploma di samping program peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Lokasi  Universiti  Malaysia  Terengganu  yang  amat  strategik  bersempadankan Laut  China  Selatan membolehkan Universiti  Malaysia  Terengganu menjadi  sebuah  institusi  terunggul dalam  beberapa  bidang pengkhususan seperti  Penyelidikan dan  Pemuliharaan Penyu,  Hutan  Paya  Bakau,  Biodiversiti, Akuakultur Tropika dan Bioteknologi Marin. Faktor lokasi yang strategik ini mendorong kepada penawaran 6 bidang tujahan universiti, iaitu Aquaculture, Oceanography and Marine Science, Socio Economic Development, Marine Biotechology, Food Security dan Sustainable Environment.

Di samping mencapai kegemilangan dalam bidang akademik dan penyelidikan, Universiti Malaysia Terengganu turut memainkan peranan dalam menunaikan. Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) kepada masyarakat, khususnya masyarakat sekitar Kuala Terengganu. Berbekalkan sejumlah ahli akademik dengan pelbagai kebolehan, kakitangan pentadbiran dan sokongan, serta pelajar-pelajar daripada segenap lapisan masyarakat, Universiti Malaysia Terengganu sentiasa membuka peluang kepada warganya untuk menyampai dan menyebarkan maklumat, ilmu dan kepakaran mereka agar dapat mencetuskan perubahan minda masyarakat. Universiti Malaysia Terengganu akan terus melangkah maju dan bergerak seiring sesuai dengan wawasan negara demi kemajuan bangsa, agama dan negara.

Bermula 1 Disember 2013, UMT telah melalui penstrukturan semula yang melibatkan pertukaran sistem Fakulti kepada sistem Pusat Pengajian. Kini UMT mempunyai lapan (8) Pusat Pengajian iaitu Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA), Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran (PPSMS), Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan (PPIMG), Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur (PPSPA), Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM), Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim (PPPPM), Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi (PPPSE) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK). Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) ditubuhkan bagi tujuan penawaran kursus teras dan elektif universiti.

Kecemerlangan UMT  dalam  penyelidikan telah  diiktiraf  melalui kemenangan pelbagai anugerah di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa seperti dalam Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA), Ekspo Teknologi Malaysia (MTE), Ekspo Antarabangsa Reka Cipta Teknik dan Produk Geneva serta Seoul International Invention Fair (SIIF). Komitmen UMT dalam pengajaran dan penyelidikan adalah selari dengan Visi dan Misi UMT itu sendiri, dalam memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya UMT menjadi sebuah Universiti Komprehensif Berfokus.