asasistem@umt.edu.my Phone: +609-6683251/3710

Pengenalan

KATA ALUAN NAIB CANSELOR UMT

 

Assalamualaikum wrt. wbt. dan Salam Sejahtera,

Kepada pelajar-pelajar baharu yang dikasihi,

Pertamanya, saya bagi pihak seluruh warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merakamkan ucapan Setinggi-tinggi tahniah dan Syabas kepada semua pelajar yang telah berjaya mendapat tempat di dalam Program Asasi STEM sesi 2018/2019. Kumpulan pelajar ini sangat bertuah kerana menjadi kumpulan pertama pelajar bagi Program Asasi STEM bukan sahaja di UMT tetapi juga yang pertama di Malaysia. Syabas dan Tahniah!

Program Asasi STEM di UMT adalah satu program berfokus di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di mana antara objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan kesinambungan pembelajaran serta kurikulum STEM di sekolah kepada peringkat yang lebih tinggi seterusnya mempertingkatkan peratusan pelajar cemerlang memasuki program berasaskan Sains dan Teknologi di UMT.

Program Asasi STEM juga diharapkan dapat dijadikan sebagai satu medan perjuangan kepada pelajar untuk  menimba ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman di dalam bidang STEM sebagai langkah positif mempersiapkan diri  sebagai seorang insan cemerlang yang berilmu  yang mampu mengisi bidang STEM sejajar dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk terus mempertabatkan bidang STEM di masa akan datang. Selain matapelajaran STEM yang diajar, dengan adanya matapelajaran seperti Sains Bumi dan Angkasa, Keperibadian Quranik dan Modul Hafazan/Mengaji Al Quran, diharapkan ianya akan menjadi nilai tambah dalm usaha melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik dan ilmu agama. Justeru, besarlah harapan saya agar pelajar yang bertuah ini dapat mengambil peluang dan kesempatan ini untuk membangunkan potensi diri agar dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan sepanjang mengikuti pengajian di UMT.

Buku panduan ini diharapkan dapat memberi maklumat kepada pelajar dan ibubapa mengenai Program Asasi STEM UMT. Sokongan daripada semua pihak dalam menggembeling tenaga dan fikiran sudah pasti dapat membantu pelajar bersiap siaga dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa merintis laluan ke arah kecemerlangan.

Akhir kata, saya berharap para pelajar telah membulatkan tekad dan azam yang tinggi untuk bersama-sama mengikuti program ini dengan jayanya.

Sekian, terima kasih.

PROF. DATO’ DR. NOR AEINI HAJI MOKHTAR

Naib Canselor

Universiti Malaysia Terengganu

 

 

 

KATA ALUAN PENGARAH PUSAT ASASI STEM

Assalamualaikum wrt. wbt. dan Salam Sejahtera,

Kepada pelajar-pelajar baharu yang dikasihi,

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menghasilkan Buku Panduan Program Asasi STEM  sesi akademik 2018/2019.

Selamat Datang dan Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang terpilih memasuki Program Asasi STEM di UMT. Sesungguhmya anda semua adalah kumpulan istimewa dan bertuah kerana bakal mencatatkan sejarah sebagai kumpulan pelajar pertama bagi Program Asasi STEM, bukan sahaja di UMT tetapi juga yang pertama di Malaysia. Alhamdulillah Program Asasi STEM telah diluluskan penubuhannya pada Oktober 2017 dan akan memulakan program pengajian bermula Jun 2018, sebagai langkah proaktif bagi melahirkan pelajar STEM cemerlang untuk calon ke peringkat ijazah.

Peralihan fasa sekolah ke fasa universiti diharapkan dapat dihadapi dengan lapang dada. Saya pasti, dalam perubahan fasa yang bakal dialami, sudah pasti ada onak dan duri. Namun, saya percaya dengan tekad dan azam untuk berjaya, semua masalah akan dapat diatasi terutamanya pelajar asasi STEM akan dibimbing oleh barisan pensyarah yang berpengalam dan pakar dalam bidang masing-masing. Pendedahan  kehidupan kampus serta cara gaya belajar di universiti secara lebih awal diharapkana dapat mengelakkan berlakunya kejatuhan prestasi pelajar dari pra-universiti ke peringkat tertiari.

Akhir kata sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terpilih. Semoga dengan mengikuti program setahun ini, dapat membekalkan ilmu pengetahuan bukan sahaja dalam bidang STEM, tetapi juga berjaya membentuk akhlak yang baik melalui mata pelajaran Keperibadian Quranik dan juga Modul Hafazan/mengaji al Quran  yang diperkenalkan di dalam program ini. Semoga niat dan usaha murni ini akan sentiasa diberkati dan dipermudahkan di dalam segala urusan.

Sekian, terima kasih.

 

LAILI BINTI HAJI CHE ROSE

Pengarah

Pusat Asasi STEM

 

PENGENALAN

Pusat  Asasi STEM secara  rasminya  ditubuhkan  pada  1  Oktober 2017 dan diletakkan di bawah Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA). Pusat Asasi STEM UMT adalah pusat yang pertama di Malaysia yang menawarkan program persediaan berfokus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sehingga Jun 2018, Pusat Asasi STEM diketuai oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh para pensyarah terdiri  daripada pelbagai pusat pengajian seperti Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA), Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan (PPIMG), Pusat Pengajian Asas dan Liberal (PPAL) dan  Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan (PPKK)

            Selain menyediakan matapelajaran STEM, Keperibadian Quranik, Sains dan Bumi Angkasa, Program Asasi STEM juga turut menawarkan pakej hafazan/mengaji Al Quran sebagai nilai tambah yang diterapkan dalam usaha melahirkan generasi yang seimbang dari segi akademik dan ilmu agama.

OBJEKTIF PENUBUHAN

 

Objektif Pusat Asasi STEM adalah seperti berikut:

 

  1. Mempertingkatkan peratusan pelajar cemerlang memasuki program berasaskan Sains dan Teknologi di UMT;

 

  1. Menambahkan peluang kepada pelajar lepasan SPM atau SETARAF samada dari aliran Sains atau dari aliran bukan Sains untuk mengikuti program berasaskan Sains dan Teknologi di peringkat tertiari;

 

  • Mewujudkan kesinambungan pembelajaran serta kurikulum STEM di sekolah kepada peringkat yang lebih tinggi;

 

  1. Kesinambungan kepada pelajar lepasan imtiyaz/aliran agama untuk meneruskan hafazan dan mengaji Al Quran di UMT.

 

  1. Mendedahkan kehidupan kampus serta cara gaya belajar di universiti secara lebih awal supaya tidak berlakunya kejatuhan prestasi pelajar dari pra-universiti ke peringkat tertiari.